KUALA PILAH – Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan termasuk cuba membunuh anggota polis di Jempol minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Hasrulnizam Hasim, 21, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Saiful Sayoti.
Pemuda itu didakwa menghimpit dan cuba melanggar motosikal dinaiki seorang anggota polis sehingga terbabas pada pukul 12.30 hingga 1.15 tengah hari di Kilometer 5, Jalan Serting Tengah-Keratong, Jempol pada 9 April lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.
Timbalan Pendakwa Raya, Farahidah Zool Beri tidak menawarkan sebarang jaminan atau ikat jamin RM20,000 sekiranya mahkamah mahu menggunakan budi bicara.
Bagi kesalahan trafik, kedua-dua perbuatan itu dilakukan pukul 12.25 tengah hari di Kilometer 9, Jalan Bahau-Kemayan, Jempol pada hari sama.
Bagi pertuduhan berikutnya, pemuda itu didakwa memandu dengan tidak cermat dan melanggar sebuah motosikal.
Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi pertuduhan cubaan membunuh dan RM8,000 bagi kedua-dua kesalahan trafik.
Pada 10 April lalu, media melaporkan seorang pemandu lori yang lari sekatan jalan raya dikejar sejauh 50 kilometer berjaya ditahan. Dalam kejadian itu, polis melepaskan 10 das tembakan yang berakhir dengan kemalangan. – KOSMO! ONLINE