ALOR GAJAH – Seorang wanita warga emas maut manakala tiga ahli keluarganya termasuk cicit berusia enam tahun cedera selepas terlibat dalam nahas membabitkan dua buah kenderaan di Jalan Kampung Paya Rumput, Masjid Tanah di sini, tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.50 tengah malam itu, mangsa, Timah Abu, 82, yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Alor Gajah.
Anaknya, Saadiah Mohd. Yasin, 46, dan menantu, Noordin Mohamed Sali, 50, serta cicitnya, Muhammad Megat Iskandar Muhammad Zulkarnain, 6, cedera di beberapa anggota badan dan dikejarkan ke zon kuning hospital sama.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, nahas berlaku selepas kereta jenis Proton Wira dinaiki empat sekeluarga itu bertembung dengan sebuah Perodua Axia yang terbabas memasuki laluan bertentangan.
“Kereta mangsa dalam dari arah Masjid Tanah menghala ke Lubok Redan dan setiba di lokasi sebuah Perodua Axia dipandu lelaki berusia 59 tahun telah hilang kawalan ketika di selekoh lalu memasuki laluan bertentangan.
“Akibat kemalangan itu, seorang warga emas parah dan disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital, manakala tiga lagi ahli keluarganya terselamat namun mengalami kecederaan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Katanya, pemandu Perodua Axia terlibat turut mengalami kecederaan parah dan perlu diintubasi di zon merah hospital sama.
“Siasatan di lokasi mendapati nahas berlaku di jalan berselekoh, satu lorong dua hala sementara faktor cuaca dan pencahayaan adalah baik.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE