fbpx

Lapangan terbang di Iran dibuka semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR fail menunjukkan Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini di Teheran. - Foto AFP

TEHRAN – Lapangan terbang di Tehran dan tempat-tempat lain di Iran beroperasi semula hari ini, kata media pemerintah selepas operasinya digantung buat sementara waktu berikutan pelancaran serangan udara ke atas Israel.

Agensi berita rasmi, IRNA melaporkan bahawa semua penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini di Tehran kembali beroperasi secara normal setakat pukul 6 pagi (waktu tempatan).

Menurut IRNA, lapangan terbang domestik Mehrabad di Tehran dan lain-lain tempat di seluruh negara termasuk Tabriz di barat laut, Mashhad di timur laut dan Shiraz di selatan negara itu telah beroperasi mengikut jadual.

Sebelum ini, semua penerbangan digantung selepas Iran melancarkan serangan pada lewat Sabtu lalu ke atas Israel dengan menggunakan dron dan peluru berpandu.

Ia dilancarkan sebagai tindakan balas terhadap serangan udara maut dipercayai dilakukan oleh jet tempur Israel ke atas Pejabat Konsulat Iran di Damsyik, Syria pada 1 April lalu.

Serangan itu dan kebimbangan mengenai tindak balas Israel telah menyebabkan beberapa syarikat penerbangan menangguhkan penerbangan ke rantau itu.

Syarikat penerbangan Jerman, Lufthansa telah menggantung penerbangannya ke dan dari Iran, manakala yang lain termasuk syarikat penerbangan Australia, Qantas mengubah laluan pesawat-pesawatnya dengan tujuan untuk mengelak daripada melalui ruang udara Iran.

Dalam pada itu, serangan itu turut mendorong beberapa negara di Asia Barat termasuk Jordan, Lebanon dan Iraq menutup ruang udara masing-masing dari kelmarin hingga semalam, namun semuanya telah dibuka semula. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI