SEPANG – Suspek insiden tembakan di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam pernah direman sebelum ini namun kemudiannya dilepaskan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, langkah tersebut disebabkan kertas siasatan perlu dilengkapkan sebelum tindakan susulan oleh pihak pendakwa raya.
“Dia pernah ditahan reman selama tiga hari pada awal tahun ini tetapi siasatan belum lengkap bagi pendakwaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA hari ini.
Awal pagi semalam, seorang lelaki nekad cuba menembak isterinya dari jarak dekat di balai ketibaan Terminal 1 KLIA namun tersasar dan mengenai pengawal peribadi mangsa.
Mengulas lanjut, Hussein menambah bahawa kes suspek berkenaan di bawah Seksyen 506 iaitu ugutan jenayah masih lagi berlangsung dan kertas siasatan tidak pernah ditutup.
“Pada masa itu, kita tidak nampak pula ada sebarang ancaman begitu besar dan kes ini disifatkan sebagai cuma masalah rumah tangga antara suspek dengan mangsa,” jelasnya.
Ditanya kenapa pihak polis tidak mengambil tindakan interim untuk memisahkan suspek daripada bertemu mangsa, beliau menambah, proses tersebut adalah berperingkat. – KOSMO! ONLINE