fbpx

Fitnah vaksin: Lokman setuju mohon maaf, bayar pampasan pada KJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairi (kanan) ketika hadir di Mahkamah Tinggi di sini hari ini. -Foto IQBAL ROSLI/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kes saman fitnah antara Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam dan bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berhubung isu vaksin Covid -19 akhirnya diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Ia apabila Lokman bersetuju untuk memohon maaf dalam tempoh 30 hari selain membayar pampasan kepada Khairy.

Dalam prosiding di hadapan Hakim, Dr.John Lee Kien How @ Mohd. Johan sepatutnya ditetapkan bagi perbicaraan hari pertama kes saman itu, namun kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan kes secara baik yang mana penyelesaian kemudian direkodkan mahkamah.

“Tiada perintah untuk kos dalam kes ini Tahniah (atas penyelesaian kes) dan mahkamah menghargai usaha serta bantuan kedua-dua pihak. Alhamdulillah, kita selesai rekodkan penghakiman persetujuan dan terima kasih,” kata Hakim itu.

Terdahulu semasa prosiding peguam Abdul Rashid Ismail yang mewakili Khairi berkata terma lain yang turut dipersetujui ialah Lokman memadam tujuh hantaran membabitkan gambar, video dan kenyataan yang disiarkan menerusi Facebook serta Youtube ahli MKT UMNO itu.

“Defendan (Lokman) juga setuju untuk tidak siarkan dan berkongsi semula kenyataan fitnah berkenaan. Defendan juga setuju pastikan memadam semua kenyataan fitnah. Defendan setuju menyiarkan permohonan maaf dalam bahasa Melayu serta Inggeris mengikut terma dipersetujui di Facebook dan Youtube defendan. Akhir sekali, defendan setuju membayar satu jumlah yang tidak boleh didedahkan,” peguam itu.

Bagaimanapun semasa prosiding, Lokman tidak hadir dan diwakili peguam Logen Eskander Abdullah.

Sementara itu, Khairy ketika ditemui pemberita menzahirkan rasa puas hati selepas Lokman bersetuju memohon maaf dan membayar pampasan terbabit. Dia (Lokman) minta maaf dan akan bayar seperti mana dipersetujui,” katanya.

Khairy, 48, selaku plaintif memfailkan dua saman secara berasingan pada 25 Januari 2022 dengan menamakan Lokman, 51, dan Mohd. Rasyiq Mohd. Alwi atau dikenali sebagai Ustaz Abu Syafiq, 43, sebagai defendan.

Prosiding hari ini hanya melibatkan kes saman terhadap Lokman.

Khairy memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi mendakwa Lokman memfitnahnya menerusi dua video serta memuat naik gambar di Facebook ‘Lokman Noor Adam Official’ pada 6 Januari 2022, membuat kenyataan menerusi dua siaran langsung di Facebook itu dan Youtube ‘Lokman Adam’ pada 10 Januari.

Khairy mendakwa Mohd. Rasyiq memfitnahnya dengan membuat empat kenyataan fitnah, menyiarkan tiga video dan gambar di Instagram ‘Ustaz Abu Syafiq’ pada 20 Oktober 2021 pada 6 dan 10 Januari 2022.

Dakwa plaintif, kenyataan fitnah dalam dua saman itu membawa maksud antaranya beliau berbohong dan menipu orang ramai dengan mendakwa dia telah diberi vaksin Covid-19 serta menerima dos ketiga serta memalsukan maklumat berkenaan status vaksinasi.

Menurut plaintif, penerbitan fitnah itu menyebabkan reputasi dan integritinya terjejas teruk serta mengurangkan kepercayaan serta keyakinan orang ramai terhadapnya sama ada melalui kapasiti peribadi dan profesional selain menyebabkan reputasinya direndahkan dalam kalangan masyarakat yang berfikiran waras.

Plaintif juga mendakwa penerbitan fitnah itu bertentangan dengan kepentingan awam dan ia mengganggu usaha serta semua yang terlibat dalam perjuangan menentang Covid-19. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI