BEKAS penjaga gol skuad hoki wanita kebangsaan, Farah Ayuni Yahya kembali beraksi untuk pasukan hoki dalam dewan negara biarpun pernah mengumumkan persaraan pada Mei 2021.
Penjaga gol hoki No. 1 negara itu berkata, keputusannya untuk kembali turun padang apabila mendapat tawaran daripada barisan kejurulatihan selain minatnya dalam sukan tersebut masih belum luntur.
“Selepas ditawarkan, saya fikir masih mempunyai stamina dan fizikal yang baik untuk kembali bermain.
“Rakan sepasukan juga mendorong saya untuk kembali beraksi dalam skuad hoki negara, malah minat saya dalam sukan ini juga masih belum luntur,” kata Farah Ayuni yang diberi julukan ‘Ninja’ ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Penjaga gol berusia 35 tahun itu menjelaskan bahawa tahun ini merupakan peluang terakhirnya untuk membantu Malaysia melayakkan diri ke pentas Piala Dunia Hoki Dalam Dewan, sekali gus bertekad merangkul kejuaraan Piala Asia Dalam Dewan di Bangkok, Thailand bulan depan.
Sebagai rekod, Farah Ayuni pernah dinobatkan sebagai penjaga gol terbaik Asia sebanyak dua kali dalam saingan Trofi Juara-Juara Asia.
Dia yang mempunyai bakat luar biasa itu juga pernah melakar sejarah dalam kariernya apabila terpilih menjadi sebahagian daripada pasukan East Grinstead HC dalam saingan Liga Hoki England pada 2018.
Kini, Farah Ayuni yang turut memegang peranan dalam barisan kejurulatihan negara, kekal fokus dengan persiapan skuad dalam dewan memandangkan pasukan hoki padang masih belum ada perancangan latihan.
Skuad dalam dewan kebangsaan akan berangkat ke Bangkok untuk berentap merebut gelaran juara Piala Asia bermula 12 hingga 16 Mei ini bagi mencari tiket ke Piala Dunia.