PETALING JAYA – “Dapat seposen (10 sen) sekali pun, terima dan bersyukurlah.”
Demikian teguran pelakon Uyaina atau nama sebenarnya Saidatul Naseha Uyaina Arshad,32, buat netizen mengenai pemberian duit raya.
Juara Puteri Muslimah Asia itu turut menegaskan amalan memberi duit raya kepada kanak-kanak atau individu lain bukanlah sesuatu yang wajib dan bergantung kepada kemampuan pemberi.
Katanya lagi, penerima pula seharusnya berlapang dada dan menerima pemberian itu secara ikhlas.
“Kalau orang itu tak bagi sekali pun, tidak berdosa. Ikut suka hati dia nak bagi atau tidak dan ikut suka hati dia bagi berapa pun,” katanya menerusi InstaStory.
Uyaina terpanggil mengulas perkara itu berikutan tular kisah seorang bapa terkejut anaknya menerima duit raya RM3 sahaja.
Dalam masa sama, Uyaina mengingatkan orang ramai tidak mengeruhkan keadaan hanya kerana nilai duit raya yang kecil.
“Tolong jangan buat teruk, terpaling entitled,” akhirinya.
Sebelum ini dalam aplikasi TikTok tular sebuah keluarga berkongsi momen menggembirakan sesi penyerahan duit raya.
Ada yang menggunakan teknik permainan berupa perlawanan mencedok duit, teka angpow paket dan sebagainya.
Namun, ramai rasa kurang selesa apabila ada segelintir pihak mempersoalkan jumlah duit raya yang diberi tuan rumah. – KOSMO ONLINE