fbpx

[VIDEO] Tembakan KLIA 1: Pengawal peribadi cedera di perut, dilaporkan stabil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video tular dikongsikan orang ramai berhubung kejadian di Balai Ketibaan KLIA 1, Sepang, awal pagi tadi.

PETALING JAYA – Pengawal peribadi yang terkena tembakan dalam kejadian di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1, di sini awal pagi tadi, dilaporkan stabil.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mangsa kini sedang menerima rawatan di hospital berdekatan.

“Mangsa cedera akibat ditembak pada bahagian perut, kini dilaporkan stabil dan sedang menerima rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tegas beliau, kejadian ini bersifat peribadi dan tidak berkaitan dengan sebarang aktiviti keganasan.

“Orang ramai diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian.

“Suasana di KLIA berada dalam keadaan terkawal dan selamat,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang lelaki nekad melepaskan tembakan sebanyak dua kali di Balai Ketibaan KLIA 1, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 1.30 pagi tadi, seorang pengawal peribadi turut tercedera akibat terkena tembakan tersebut.

Hussein dilaporkan berkata, pihaknya sudah mengenal pasti suspek dan dipercayai melarikan diri ke utara.

Jelas Hussein, siasatan lanjut mendapati suspek sebenarnya mahu melepaskan tembakan ke arah isterinya yang sedang menunggu kepulangan jemaah umrah.

Lelaki itu bertindak melepaskan dua das tembakan sebelum terkena seorang lelaki tempatan yang juga merupakan pengawal peribadi mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan.

Jelas Hussein, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Akta Senjatapi. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI