SEPANG – Polis sedang giat memburu seorang lelaki yang nekad melepaskan tembakan sebanyak dua kali di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1, di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 1.30 pagi itu, seorang pengawal peribadi turut tercedera akibat terkena tembakan teraebut.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya sudah mengenal pasti suspek dan dipercayai melarikan diri ke utara.
Jelas beliau, siasatan lanjut mendapati suspek sebenarnya mahu melepaskan tembakan ke arah isterinya yang berada di situ.
“Isteri suspek dipercayai sedang menunggu kepulangan jemaah umrah ketika kejadian berlaku.
“Suspek bertindak melepaskan dua das tembakan sebelum terkena seorang lelaki tempatan yang juga merupakan pengawal peribadi mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian perut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jelas Hussein, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Akta Senjatapi.
“Identiti suspek telah dikenal pasti dan operasi kesan sedang giat dijalankan. Kejadian ini bersifat peribadi dan tidak berkaitan dengan sebarang aktiviti keganasan.
“Orang ramai diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian manakala suasana di KLIA berada dalam keadaan terkawal dan selamat,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial kekocohan berlaku di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA 1 ekoran insiden tembakan sehingga menyebabkan seorang tercedera. – KOSMO! ONLINE.