PETALING JAYA – Ustazah Farah Cie dinasihatkan oleh peguam agar tidak membuat sebarang kenyataan mengenai kejadian tembakan yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, pagi tadi.
Menurut hantarannya di laman Facebook, Farah Cie atau nama sebenarnya Farah Md. Isa meminta orang ramai agar merujuk pada kenyataan rasmi pihak polis untuk mengetahui sebarang perkembangan mengenai kes terbabit.
“Suspek sedang dalam buruan, rujuk setiap kenyataan rasmi pihak polis yang sahih.
“Saya menerima nasihat daripada pihak peguam untuk tidak membuat sebarang kenyataan berkaitan kes ini sementara waktu,” katanya.
Sebelum ini, Farah Cie sempat memuat naik hantaran meminta orang ramai agar mendoakan pengawal peribadinya yang dalam keadaan kritikal.
“Polis sedang memburu (suspek), keadaan KLIA sedang dikawal ketat polis dan pengawal peribadi cedera sekarang berada di Hospital Cyberjaya. Doakan ya,” jelasnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang pengawal peribadi bertindak nekad menghalang tembakan daripada terkena majikannya dalam kejadian tembakan di KLIA1, awal pagi tadi.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 1.20 pagi itu difahamkan suspek lelaki berusia 38 tahun itu melepaskan dua das tembakan menyasarkan isterinya pada jarak dekat. – KOSMO! ONLINE