PETALING JAYA – Kerajaan sedang memantau rapat perkembangan serta situasi terkini berhubung serangan Iran terhadap Israel yang berlaku pagi tadi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Facebooknya berkata, selain berbincang mengenai perkembangan terkini, pihaknya turut memantau pasaran kewangan serta kesan kepada negara ini.
Katanya, beliau mengadakan pertemuan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu serta pegawai tertinggi kerajaan bagi membincangkan situasi terkini di rantau Asia Barat.
“Serangan yang dilancarkan Republik Islam Iran adalah tindak balas yang berpunca daripada serangan biadab Zionis Israel ke atas kedutaan Iran di Damsyik, Syria baru-baru ini.
“Ini tentunya adalah pelanggaran yang nyata terhadap hukum dan undang-undang antarabangsa.
“Kerajaan kini sedang memantau rapat perkembangan tersebut dan juga kedudukan pasaran kewangan, termasuk potensi dampak ke atas Malaysia dan kerajaan akan bertindak dengan bijaksana bagi memperkukuh kestabilan ekonomi dan kewangan negara,” katanya dalam hantaran itu.
Menurut Anwar lagi, kerajaan juga mengambil kira sebarang faktor yang mungkin memberi kesan kepada rakyat Malaysia.
“Malaysia berpendirian bahawa semua pihak harus memainkan peranan untuk memastikan ketegangan di Asia Barat tidak terus memuncak demi kepentingan dan keamanan sejagat dan semua pihak mesti berusaha untuk mencapai penyelesaian dengan menamatkan pertelingkahan di rantau tersebut.
“Sebarang jalur penyelesaian yang dipilih tidak akan berkekalan sekiranya keganasan yang sedang berlaku ketika ini tidak ditamatkan dalam kadar segera.
“Walaubagaimanapun, Malaysia kekal teguh dengan pendiriannya untuk bersama dengan warga Palestin yang terus menanggung derita dari kemelut ini,” tegasnya.
Justeru, Anwar menggesa semua pihak memainkan peranan penting dalam mendesak ketegangan yang berlaku dapat ditamatkan segera. -KOSMO! ONLINE.