SETIAP kali menyambut Aidilfitri, pelakon Faizal Hussein pasti terkenang memori kemeriahan meraikan hari kemenangan itu bersama ibu bapanya, Allahyarham Mahyon Ismail dan Allahyarham Hussein Abu Hassan.
Terutama ketika zaman kanak-kanak, orang tuanya masih dalam era kemasyhuran.
Situasi tersebut membuatkan rumah mereka di Gombak, Selangor sentiasa menjadi tumpuan peminat.
Akui anak bongsu daripada tiga bersaudara itu, kediaman tersebut juga menyimpan 1001 memori indah menjadi saksi orang tuanya menerima kunjungan peminat termasuk dari Brunei dan Singapura.
“Raya masa zaman kanak-kanak sehingga menginjak remaja boleh dikatakan dikelilingi peminat ibu bapa saya yang menjadi antara selebriti popular pada era mereka.
“Seawal selesai solat sunat Aidilfitri lagi sudah ada yang datang memberi salam sehinggalah ke tengah malam menjadikan rumah kami paling sesak di kejiranan Gombak.
“Memasak pula tak berhenti, macam masak untuk kenduri sebab tetamu tak putus datang termasuk dari jauh. Walaupun penat, saya tengok orang tua saya puas hati dapat bagi layanan terbaik,” katanya kepada HibGlam.
Pada usia 57 tahun, bintang filem Gila-Gila Remaja yang mengikut jejak langkah ibu bapanya terjun ke dunia lakonan hakikatnya teruja melihat kesungguhan mereka melayani tetamu.
Tambahan pula orang tuanya tidak berpeluang menziarahi saudara-mara terdekat atau tetangga disebabkan tidak menang tangan sepanjang minggu pertama Syawal.
“Rumah kami turut jadi gelanggang perhimpunan saudara-mara, termasuk keluarga sebelah sepupu iaitu Datuk Khadijah Ibrahim bersama adik-beradiknya.
“Apabila orang keliling dapat tahu penyanyi hebat bersama abangnya Latiff Ibrahim datang, lagi padat laluan ke rumah kami sampai ‘sangkut’.
“Selepas pemergian ayah pada 2007, disusuli emak sekitar 2011, hilanglah tradisi buka pintu kediaman kami pada musim lebaran. Saya rindukan saat begitu,” ujar bapa kepada dua anak itu.
Rutin beraya Johor
Kini suami kepada pelakon pelakon Suhaila Sulaiman itu mengamalkan rutin menyambut 1 Syawal bersama keluarga mentua di Johor.
Paling menarik, dia berpeluang merasai tradisi raya masyarakat Jawa yang ada cara tersendiri ketika bersalaman dengan ibu bapa pada hari raya.
“Adik-beradik isteri enam orang, jadi mereka perlu beratur untuk bersalaman dengan orang tua mengikut usia, disusuli peringkat anak-anak pula mencium tangan datuk dan nenek.
“Seminggu sebelum raya kami dah balik kampung untuk bantu buat persiapan.
“Tugas saya senang, tolong rebus ketupat yang dianyam ahli keluarga lain,” tambahnya yang sudah 20 tahun mendirikan rumah tangga.
Genap dua minggu bercuti panjang sambil menggunakan peluang mengeratkan silaturahim, Faizal kembali ke Kuala Lumpur bagi menyambung projek drama One Cent Thief 2.