PETALING JAYA – Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn. Bhd. (PTP) telah bekerjasama dengan Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) bagi membantu golongan kurang berkemampuan khususnya di sekitar pelabuhan melalui program Mahabbah Ramadan.
Mahabbah Ramadan adalah sebuah program di bawah kerangka besar agenda pelaburan sosial korporat (CSR), Program Kasih Lestari PTP yang bertujuan untuk merapatkan jurang sosio-ekonomi yang dihadapi oleh golongan kurang berkemampuan yang tinggal di kawasan Gelang Patah dan Johor Bahru.
Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mark Hardiman berkata, pada tahun ini, kira-kira 250 individu dari rumah anak yatim, ibu bapa tunggal, orang kurang upaya dan keluarga berpendapatan rendah mendapat manfaat daripada program tersebut.
“Setiap penerima menerima pakej penjagaan khas yang dibungkus dengan bahan-bahan harian yang sesuai untuk penyediaan jamuan hari raya seperti beras, gula, tepung, pulut, mi kering, rempah ratus dan ketupat segera.
“Mereka juga diberikan baucar Mydin bernilai RM100 setiap satu serta aneka kuih raya,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini baru-baru ini.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah ADUN Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad, Pengerusi LPJ, Rosnan Fathlal beserta wakil pengurusan PTP, LPJ, Pejabat Daerah Johor Bahru, penghulu dan ketua-ketua kampung.
Selain itu, Mark menerangkan, PTP telah menganjurkan program pemberian bantuan Ramadan dan hari raya selama lebih daripada 16 tahun, dengan kerjasama agensi kerajaan.
Ia bertujuan untuk menyampaikan bantuan yang diperlukan dan memudahkan beban golongan yang memerlukan dalam masyarakat sekitar tempat PTP beroperasi.
“Program Mahabbah Ramadan, yang secara literal diterjemahkan kepada cinta yang mendalam berfungsi sebagai sebuah platform kepada PTP untuk berkongsi keberkatanRamadan dan Aidilfitri kepada masyarakat setempat kami di Gelang Patah, khususnya kepada mereka yang kurang bernasib baik,” katanya.
Dalam majlis perasmian Program Mahabbah Ramadan itu juga, PTP turut menjemput 40 kanak-kanak kurang bernasib baik dari Rumah Fitrah Qaseh dan pusat pemulihan komuniti (PDK) Nusajaya dalam majlis berbuka puasa di premisnya.
Terdahulu, PTP juga telah mengagihkan lebih 2,000 hidangan bubur lambuk, yang disediakan dan dimasak bersama oleh sukarelawan PTP dan masyarakat kampung setempat di Mukim Tanjung Kupang.
Bubur lambuk itu diserahkan kepada rumah anak yatim, pusat jagaan warga emas, masjid dan ahli masyarakat lain yang layak di sekitar PTP. -KOSMO! ONLINE