GUA MUSANG – Ramai anak perantau Kelantan berhenti di stesen minyak dan hentian Rehat dan Rawat (R&R), hari ini, untuk menghilangkan penat selepas mengharungi perjalanan lebih 10 jam dari Kota Bharu ke Gua Musang sebelum menuju ke ibu kota.
Seorang perantau, Izz Fairuz Khuzaini, 33, berkata, dia bertolak dari Pasir Mas pada pukul 6 petang dan sampai di Bandar Gua Musang pada pukul 3 pagi.
Katanya, dia bersama keluarga berehat di stesen minyak selepas tidak berdaya lagi untuk meneruskan pemanduan.
“Stesen minyak atau R&R juga penuh dengan kenderaan perantau. Perjalanan pulang ke Kuala Lumpur kali ini mencabar kerana terpaksa mengharungi tempoh masa 10 jam dari Pasir Mas ke Gua Musang.
“Saya mengambil keputusan untuk bersarapan di Bandar Gua Musang sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur,” katanya.
Ab. Kadir Razak, 44, berkata, aliran trafik dari Machang, Kuala Krai ke Gua Musang masih lagi perlahan apabila banyak kenderaan menghala ke ibu kota.
Katanya, dia bertolak dari Machang pada pukul 12 tengah malam tadi dan tiba di Bandar Gua Musang pada pukul 6 pagi.
“Saya bertolak pada tengah malam kerana ingin menghindar kesesakan. Jangkaan saya meleset apabila kenderaan semakin bertambah pada waktu tersebut,” katanya.
“Saya bersama lima ahli keluarga lain terpaksa meneruskan perjalanan kerana esok sudah mula bekerja dan anak-anak juga bersekolah,” katanya.
Seorang lagi perantau, Suhairi Ibrahim, 37, memberitahu, dia sudah biasa dengan situasi jalan sesak apabila pulang beraya ke Kelantan.
Katanya, dia rela menghadap kesesakan asalkan dapat pulang beraya bersama keluarga. – KOSMO! ONLINE