IPOH – Polis Perak meningkatkan kawalan di pintu keluar masuk sempadan di Pengkalan Hulu, Hulu Perak dalam usaha menahan suspek kes tembak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya juga meningkatkan pemantauan di kawasan rehat dan rawat (R&R) serta mengadakan sekatan jalan raya (SJR) bagi mengesan suspek tersebut.
“Polis Perak akan membantu Polis Selangor dalam mengesan suspek dengan meningkatkan pemantauan di R&R di negeri Perak termasuk mengadakan SJR dan meningkatkan kawalan pintu keluar masuk sempadan di Pengkalan Hulu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Media hari ini melaporkan mengenai kes tembakan melibatkan seorang lelaki dan isterinya di KLIA 1 awal pagi tadi, dengan pengawal keselamatan wanita berkenaan parah setelah terkena tembakan suami wanita tersebut.
Suspek yang merupakan lelaki tempatan berusia 38 tahun itu kemudiannya melarikan diri ke utara, dengan pihak polis menasihati suspek untuk menyerah diri secara baik di mana-mana balai polis.
Pihak polis turut menasihati orang ramai yang melihat suspek untuk berkongsi maklumat dengan pihak berkuasa namun tidak bertindak bersendirian ekoran lelaki terbabit disifatkan sebagai berbahaya. – KOSMO! ONLINE