LIPIS – Kemarau yang melanda menjadi antara punca berlakunya krisis bekalan air di beberapa kawasan negeri ini ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, masalah tersebut tidak dapat dielak ekoran kemarau yang sedang melanda negara ditambah dengan kepulangan perantau bagi menyambut hari raya.
“Saya tidak nafikan menjelang perayaan kita tidak dapat mengelak dari krisis air. Cuma pada kali ini krisis air lebih banyak daripada biasa mungkin disebabkan cuaca kemarau.
“Namun begitu pihak PAIP (Pengurusan Air Pahang Berhad) telah menyediakan bekalan sehingga 1, 300 tangki air di kawasan yang mengalami masalah dan saya anggarkan ia satu angka yang sangat banyak,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Laman Sejahtera Jelai, Felda Sungai Koyan, di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri dan PAIP sentiasa memantau isu terbabit supaya ianya tidak berlarutan dan penduduk mendapat segera bekalan air dalam masa yang singkat. KOSMO! ONLINE