fbpx

Budaya kanak-kanak kutip duit raya makin pupus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IBU bapa kini lebih cakna tentang soal keselamatan anak-anak dan mereka dilarang mengutip duit raya dari rumah ke rumah. – GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Faktor keselamatan serta perubahan zaman merupakan antara punca utama budaya mengutip duit raya dari rumah ke rumah yang sering dilakukan golongan kanak-kanak pada Aidilfitri kian pupus.

Menurut Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara, Tan Sri Lee Lam Thye, ibu bapa pada zaman kini lebih cakna soal keselamatan anak-anak dan tidak lagi membenarkan mereka keluar tanpa sebarang pengawasan.

“Berdasarkan pemerhatian saya, budaya ini sememangnya sudah berkurangan berbanding 30 atau 40 tahun dahulu. Pada zaman itu, tradisi ini merupakan satu kebiasaan terutamanya ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Bagaimanapun, sekarang timbul isu keselamatan, lebih-lebih lagi jika anak diberikan kebebasan untuk mengutip duit raya dari rumah ke rumah. Tidak dinafikan, amalan ini boleh mendedahkan mereka kepada bahaya, salah satunya kemala­ngan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) berkata, selain itu, kanak-kanak juga berisiko untuk menjadi mangsa jenayah lain seperti penculikan.

“Kalau kanak-kanak ini dibiarkan tanpa pengawasan, mungkin akan ada penjenayah ambil ke­sempatan.

“Oleh itu, ibu bapa rasa lebih bertanggungjawab untuk menjaga anak masing-masing supaya mereka tidak terdedah dengan risiko kemalangan atau jenayah, lebih-lebih lagi pada musim pe­rayaan. Jadi, mereka tidak lagi membenarkan anak-anak keluar mengutip duit raya,” ulasnya.

Selain itu, Lam Thye berkata, perubahan zaman serta cara hidup berbeza juga merupakan antara punca kanak-kanak tidak lagi keluar mengutip duit raya.

“Kalau hendak dibandingkan dengan zaman dahulu, memang ramai yang keluar kutip duit raya. Tetapi, sekarang saya lihat jarang perkara ini berlaku, boleh dikatakan ia semakin berkurangan atau hampir pupus.

“Mungkin zaman sudah berubah. Ada juga kemungkinan, ibu bapa dan adik beradik sendiri sudah beri duit raya yang mencukupi. Jadi, ibu bapa larang anak daripada keluar mengutip duit raya dari rumah ke rumah,” ulasnya.

Mengulas lanjut, Lam Thye berkata, budaya memberi duit raya pada musim perayaan bukanlah sesuatu yang asing, malah sudah sebati dengan budaya rakyat Malaysia.

“Budaya ini bukan sahaja dilakukan oleh orang Melayu, tetapi juga ketika perayaan bangsa lain. Sebagai contoh, orang Cina akan memberikan angpau ketika tibanya Tahun Baharu Cina.

“Walaupun jumlahnya tidak besar, semua orang akan beri (duit raya) sama ada kepada ahli keluarga atau rakan-rakan. Ini budaya kita.

“Bagaimanapun, kalau orang Cina, angpau akan tetap diberikan kepada orang yang sudah berusia tetapi masih belum berkahwin. Kalau sudah berusia 25 tahun ke atas, mungkin tidak dapat (duit raya) tetapi mereka masih layak dapat angpau,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI