JOHOR BAHRU – Presiden Pertubuhan Permata Baiduri Malaysia (Permata), Faridah P. Hamsa tidak menyangka berdepan dugaan kediaman terbakar sehari sebelum sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri lalu.
Menurut wanita berusia 40 tahun itu, dia tidak menyangka perkara tersebut berlaku kepada keluarganya kerana sebelum ini kerap ‘turun padang’ menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran atas kapasiti pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Bagaimanapun katanya, dia berterima kasih kepada jiran-jiran yang membantu memadamkan kebakaran tersebut sehingga api berjaya dikawal.
“Ketika kejadian saya dalam perjalanan mengambil baju raya di Kampung Melayu Majidee. Saya terima panggilan daripada ahli keluarga dan jiran-jiran memaklumkan kediaman saya terbakar.
“Saya terus bergegas pulang dan mendapati semua ahli keluarga sudah berada di luar rumah. Seperti tidak percaya kerana biasanya saya tolong mangsa kebakaran, tetapi kini saya jadi mangsa.
“Baharulah saya tahu bagaimana perasaan mangsa-mangsa kebakaran ini, apatah lagi insiden itu berlaku ketika kita semua sedang teruja untuk menyambung ketibaan Aidilfitri,” katanya kepada pemberita di kediamannya yang musnah terbakar di Taman Scientex, Pasir Gudang, di sini hari ini.
Ibu kepada empat anak itu turut memberitahu semua persiapan Aidilfitri dan pakaian persekolahan anak-anaknya, termasuklah empat bungkusan pakaian untuk disumbangkan kepada golongan asnaf rosak akibat kejadian itu.
Sementara itu, anaknya, Nur Farah Syazatul Alieya Abdul Hamed, 16, yang berada di kediaman ketika kebakaran itu berlaku memberitahu, pada mulanya dia terdengar bunyi letupan tetapi menyangka itu hanya bunyi mercun.
“Saya turun dari tingkat dua rumah sebelum mendapati asap hitam sudah memenuhi ruang bawah. Saya menjerit meminta pertolongan jiran-jiran sebelum masuk semula ke dalam rumah untuk menyelamatkan adik saya yang berada di tingkat dua.
“Saya sedang memandikan adik bongsu saya ketika itu, manakala ibu dan dua abang tidak berada di rumah ketika kejadian,” katanya.
Dalam pada itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Nor Hafizah Ahmad memaklumkan pihaknya menyampaikan bantuan segera sebanyak RM300 selain sumbangan makanan, selimut, tuala dan barang keperluan harian lain.
Terdahulu, Faridah turut menerima sumbangan disampaikan Presiden Majlis Penyelaras Gabungan NGO Melayu Negeri Johor (Gabung), Zaini Atan. – KOSMO! ONLINE