PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat menziarahi bekas Bendahari Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman di hospital hari ini.
Anwar menerusi Facebook rasminya berkata, Syed Ibrahim merupakan sahabat lamanya khususnya ketika gerakan belia Islam dan aktivisme waktu dahulu.
“Hari ini, sempat menziarahi sahabat lama yang juga mantan Bendahari ABIM, saudara Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman di hospital.
“Alhamdulillah, gembira melihat saudara Syed Ibrahim dalam keadaan baik.
“Sempat bicara panjang dengan beliau dan keluarga, terutamanya kenangan ketika bersama-sama dalam gerakan belia Islam dan aktivisme suatu ketika dahulu,” katanya.
Sehubungan itu, Anwar juga mendoakan agar sahabat lamanya itu diberi kesembuhan.
“Mendoakan saudara Syed Ibrahim segera sembuh dan dikurniakan keafiatan berpanjangan, insya-Allah,” ujarnya lagi. -KOSMO! ONLINE