WASHINGTON – Lebih ramai askar Amerika Syarikat (AS) dihantar ke Asia Barat sebagai persiapan untuk menghadapi serangan balas Iran ke atas Israel, lapor portal berita MailOnline kelmarin.
Tindakan itu dilakukan selepas Washington percaya Teheran akan melancarkan serangan yang berisiko mencetuskan perang besar-besaran.
Menurut beberapa laporan, armada kecil tempur diterajui kapal pengangkut pesawat USS Dwight Eisenhower telah dikerah ke Laut Merah sebagai amaran keras kepada Teheran dan bagi melindungi kakitangan AS sekiranya perang meletus.
Pegawai-pegawai AS bimbang Teheran akan melancarkan beratus-ratus dron dan berpuluh-puluh peluru berpandu untuk menyerang Tel Aviv.
Ia bagi membalas serangan udara menyasarkan bangunan konsulat Iran di Damsyik, Syria pada 1 April lalu yang didakwa Iran, dilancarkan oleh tentera Israel.
Susulan serangan itu, Pemimpin Agung Iran, Ali Khamenei berikrar untuk membalas dendam.
Bagaimanapun, Israel masih belum mengaku bertanggungjawab terhadap serangan di Damsyik.
Terdahulu, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berikrar akan bertindak balas jika Iran menyerang Israel dengan situasi di Asia Barat kini sangat meruncing.
Kelmarin, pegawai-pegawai pertahanan Pentagon berkata, mereka memindahkan aset perang tambahan ke Asia Barat beberapa jam selepas Kedutaan AS di Baitulmuqaddis melarang semua kakitangannya pergi ke Tel Aviv.
Namun, White House tidak menyatakan bahawa Iran pasti akan melancarkan serangan dalam waktu terdekat.
Ia sebaliknya menganggap ancaman serangan itu benar-benar akan berlaku.
“Kami masih menganggap potensi ancaman Iran adalah nyata, benar-benar akan berlaku dan boleh dipercayai. Kami memantaunya seberapa teliti yang boleh,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara, John Kirby kepada pemberita kelmarin.
Kirby menambah, AS mengadakan komunikasi berterusan dengan sekutunya, Israel bagi memastikan Tel Aviv boleh mempertahankan diri daripada serangan balas Teheran.’
Menurutnya, perubahan telah dilakukan untuk memastikan Amerika bersiap sedia dengan wajar untuk menghadapi sebarang serangan dari Iran tetapi enggan menjelaskan dengan lebih terperinci.
Kirby tidak memberikan butiran lanjut tentang kemungkinan masa serangan itu akan dilancarkan dan sebaliknya memberi amaran bahawa ia boleh berlaku dalam tempoh 48 jam akan datang.
Pada Khamis lalu, Kedutaan AS di Baitulmuqaddis mengeluarkan amaran kepada kakitangannya tanpa menyebut tentang isu Iran.
“Berdasarkan kepada kewaspadaan yang tinggi, kakitangan-kakitangan kerajaan AS dan ahli keluarga mereka dilarang daripada melakukan perjalanan peribadi ke Tel Aviv, Baitulmuqaddis dan Be’er Sheva sehingga diberitahu kelak,” demikian menurut amaran keselamatan Washington.
Serangan ke atas Damsyik pada 1 April lalu telah membunuh dua anggota kanan Kor Pengawal Revolusi Islam dan lima pegawai lain, kata Teheran.
Akhbar The Washington Post melaporkan kelmarin bahawa pegawai-pegawai kanan Pentagon kecewa kerana Tel Aviv tidak memaklumkan kepada Washington sebelum melancarkan serangan udara ke atas kepentingan Iran.
Tiga pegawai AS yang enggan nama mereka tidak didedahkan berkata, Setiausaha Pertahanan Lloyd Ausin dan pegawai kanan pertahanan lain percaya Israel sepatutnya memaklumkan Pentagon terlebih dahulu sebelum melancarkan serangan itu.
Ini kerana implikasi serangan sedemikian terhadap anggota-anggota perkhidmatan AS di rantau Asia Barat.
Jika Israel dan Iran terlibat dalam peperangan, kemusnahan besar boleh berlaku.
Pakar dalam pengurusan konflik dan pengasas pertubuhan bukan kerajaan, NGO Monitor yang berpangkalan di Baitulmuqaddis, Profesor Gerald Steinberg berkata, perang antara Iran dan Israel jika berlaku, adalah ibarat ‘menang jadi arang kalah jadi abu’. – AGENSI