LUBOK ANTU – Pasukan Tentera Darat (TDM) menggagalkan cubaan enam lelaki tempatan menyeludup keluar 5.8 tan rotan kering ke Indonesia melalui sempadan, di sini.
Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat berkata, semua suspek berusia 25 hingga 75 tahun dicekup di Sektor Op Awas/ Keris Parang, di sini kira-kira pukul 2.30 pagi semalam.
“Sepasukan anggota tentera yang sedang melaksanakan penugasan serang dan tangkap (Serkap) di lokasi yang dikenali masyarakat tempatan sebagai ‘Pondok John’ kira-kira 800 meter dari sempadan Malaysia-Indonesia telah menahan sebuah lori bersama enam wargan Malaysia yang mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan menjumpai sebanyak 5,840 kilogram rotan kering bernilai RM78,840,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu menambah, turut dirampas sebuah Lori Hino Tipper dan sebuah Toyota Fortuner menjadikan hasil rampasan dianggarkan berjumlah RM 283,840,” katanya.
Katanya laporan polis telah dibuat di Balai Polis Lubok Antu dan kesemua barangan rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE