fbpx

Tutup mata sebelum tatap puteri kembar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rabiatul Izzati bersama anak-anaknya melihat gambar kenangan mereka bersama arwah Muhammad Fitri Izzat.

KUALA SELANGOR – “Selagi bernyawa, saya akan memikul amanat arwah suami untuk menjaga tiga anak perempuan termasuk pasangan kembar kami.”

Begitu luahan pilu Rabiatul Izzati Tenuri, 34, yang kehilangan suami tercinta, Allahyarham Muhammad Fitri Izzat Mohamad Fairus, 34, akibat Covid-19 ketika pandemik itu melanda negara tiga tahun lalu.

Malah, arwah Muhammad Fitri tidak sempat melihat pu­teri kembarnya, Nur Raisya dan Nur Raiqa yang kini berusia tiga tahun selepas meninggal dunia pada 12 Ogos 2021 selepas ditidurkan selama 12 hari.

Menceritakan detik hitam itu, Rabiatul Izzati berkata, arwah suaminya dirawat di Hospital Sungai Buloh (HSB) sempat membuat panggilan video selama seminit pada 9 Ogos tahun sama.

“Saya sebelum itu pada 28 Julai juga positif Covid-19 dan dimasukkan ke HSB pada 28 Julai dan ditidurkan bagi melahirkan anak kembar kami secara pembedahan.

“Selepas selamat melahirkan anak, saya menghubungi suami yang menjalani kuarantin, namun keadaannya semakin teruk kerana peratusan oksigen merosot dan pergi buat selamanya,” katanya di kediaman keluarganya di Kampung Sungai Gulang-Gulang, Tanjung Karang di sini.

Menambah pilu, tragedi kehilangan suaminya itu berlaku sebelum ulang tahun perkahwinan mereka yang sepatutnya diraikan pada 26 Ogos 2021.

Menurut ibu tunggal itu, dia kini menerima ketentuan Ilahi dengan reda dan mahu memfokuskan masa depan semua anak termasuk puteri sulungnya, Nur Ania, 6.

“Secara jujurnya, jiwa saya sememangnya sebak apabila ter­kenangkan nasib tiga anak yang menjadi anak yatim pada usia kecil.

“Namun, saya perlu terus kuat untuk membesarkan mereka sebaik mungkin dan memegang pesanan arwah suami sebelum ini,” katanya.

Jelas Rabiatul Izzati, dia kini gigih meneruskan kelangsungan hidup dengan berniaga makanan bersama ibunya di pekan Tanjung Karang dan menjual dimsum secara dalam talian.

Tambahnya, dia belum memikirkan untuk mendirikan rumah tangga kerana keutamaan hanya kepada anak-anak.

“Apabila Aidilfitri, saya ter­kenangkan arwah yang amat meminati lontong, lemang dan rendang daging.

“Namun, saya perasan arwah dilihat beraya agak bersungguh-sungguh pada 2021 berbanding biasa dan tidak sangka ia le­baran terakhir kami bersamanya,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI