Masih belum terlewat rasanya untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua pembaca Kosmo!.
Apa yang hendak diluahkan kali ini sebenarnya sudah beratus kali diperkatakan dan diperdebatkan, namun sehingga hari ini kadar kematian di jalan raya masih berlaku dan terus berlaku.
Pada hari raya pertama, hari yang sepatutnya disambut dengan riang gembira bersama keluarga serta rakan taulan bertukar dengan linangan air mata bagi mereka yang kehilangan ahli keluarga apabila sebanyak 35 kematian dan 1,289 kemalangan direkodkan di seluruh negara.
Malah, dalam tempoh seminggu sebelum itu sebanyak 132 orang maut, manakala 28,483 nahas jalan raya direkodkan. Itu belum lagi dikira jumlah mereka yang parah sudah tentu jumlahnya lebih besar. Angka ini sebenarnya amat menakutkan.
Kita bukan berperang, tetapi banyak nyawa terkorban hanya kerana kesilapan atau kecuaian segelintir pengguna jalan raya.
Apakah punca sebenar kemalangan maut ini? Adakah ramai dalam kalangan pemandu tidak cekap? Apakah kenderaan yang dipandu tidak berada dalam keadaan baik?
Apakah keadaan jalan raya kita tidak cukup bagus atau tidak diselenggara dengan betul?
Apakah sekolah memandu kita gagal mendidik atau mengajar para pemandu cara serta etika pemanduan yang selamat?
Berdasarkan kes-kes kemalangan yang direkodkan dashcam kenderaan atau kamera televisyen litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial, sebahagian besar kemalangan berlaku akibat kecuaian atau kealpaan pemandu sama ada memandu atau menunggang motosikal secara melulu termasuk gagal memberi tumpuan penuh kepada pemanduan.
Kecuaian yang menjurus kepada sikap pemandu sama ada kereta atau motosikal yang tidak sabar, ego, enggan bertolak ansur serta gagal meramal risiko bahaya mendedahkan lagi mereka kepada kejadian kemalangan.
Lebih malang, angkara kecuaian mereka, bukan hanya mereka yang menanggung derita, malah turut mengheret pihak lain yang tidak bersalah menanggung bala.
Jujurnya, kejadian kemalangan yang meragut banyak nyawa ini seharusnya dipandang serius dan sesuatu harus dilakukan untuk membendungnya daripada terus menghantui jalan raya kita.
Rasanya ia harus bermula di peringkat sekolah memandu lagi agar setiap pemandu diajar supaya benar-benar faham aspek keselamatan semasa di jalan raya termasuk memahami keupayaan dan keadaan sesebuah kenderaan sebelum diberikan lesen memandu.
Bukan apa, sekarang ini rasanya masih ada pemandu atau penunggang motosikal yang rasa-rasanya tidak berapa faham tentang peraturan di jalan raya.
Buktinya banyak yang langgar lampu merah, tidak berhenti di simpang, memandu secara melulu, berlumba di jalan yang sibuk baik kereta atau motosikal dan banyak lagi sehingga kita tertanya-tanya, bagaimana mereka ini dapat lesen?
Cari jalan dan lakukan sesuatu supaya kalau boleh kita bukan sekadar mahu lihat jumlah kemalangan maut ini berkurangan, malah angkanya bertukar menjadi sifar.