PETALING JAYA – Penghidap ‘gamophobia’ sukar untuk berhadapan dengan soalan berkaitan kehidupan peribadi masing-masing.
Menurut hantaran Public Health Malaysia (PHM) di laman Facebook, golongan ini juga fobia untuk berkahwin atau berpasangan kerana takut memberikan komitmen.
“Individu yang menghidap gamophobia selalunya akan rasa cemas apabila melihat pasangan lain bahagia.
“Mereka juga akan alami kerisauan yang melampau ketika menjalinkan hubungan,” katanya.
Selain itu, mereka juga sentiasa bimbang hubungan mereka akan berakhir secara tiba-tiba dan mungkin bertindak memutuskan hubungan dengan insan yang mereka cintai tanpa berfikir panjang.
Menurut PHM, ada beberapa perkara yang boleh menyebabkan seseorang itu menghidap gamophobia, antaranya adalah trauma masa lampau serta rasa sakit kerana pernah dikecewakan sebelum ini.
“Antara penyebab utama fobia ini adalah individu tersebut mungkin pernah melalui pengalaman ibu bapa bercerai atau pernah dikecewakan dalam percintaan.
“Mereka juga mungkin pernah gagal dalam hubungan dalam perkahwinan sebelum ini atau bersikap terlalu tegas dalam memilih pasangan,” katanya.
Bagaimanapun, penghidap fobia ini boleh menyukai seseorang, tetapi perasaannya akan bertukar menjadi takut setelah diajak menjalinkan hubungan yang lebih serius.
Menurut PHM, sekiranya masalah ini berterusan, penghidap gamophobia perlu mendapatkan bantuan dan rawatan daripada pakar. – KOSMO! ONLINE