PERASAAN bersalah tidak dapat bersama keluarga pada lebaran kali ini tidak pernah wujud dalam diri tonggak tengah skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, Mukhairi Ajmal Mahadi yang bakal memimpin pasukan pada kempen Piala Asia B-23 di Qatar.
Walaupun terpaksa menyambut Aidilfitri di perantauan, pemain Selangor itu bertegas dirinya kini lebih tenang kerana sudah mendapat restu daripada ibu bapanya yang mengharapkan kejayaan buat skuad muda negara.
“Ini kali pertama beraya di luar, tetapi bagi saya, sebagai pemain bola sepak ini adalah kerja kami dan sekarang perlu beri yang terbaik. Ini rezeki kami kerana bukan senang untuk beraksi di pertandingan besar.
“Saya harap seluruh pasukan dapat berikan yang terbaik untuk ibu bapa, penyokong dan semua rakan yang selalu beri sokongan. Saya sempat balik jumpa keluarga dan mereka mahu saya fokus kerana ini peluang terbaik untuk tonjolkan diri,” katanya.
Skuad kendalian Juan Torres Garrido yang diundi dalam Kumpulan D akan membuka tirai saingan bertemu Uzbekistan pada Rabu ini diikuti Vietnam (20 April) dan Kuwait (23 April).
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin sebelum ini mahu para pemain fokus terhadap misi awal untuk layak ke suku akhir terlebih dahulu sebelum mengintai tempat selaku tiga pasukan terbaik yang akan menjamin slot ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Sebelum ini, skuad negara tewas dalam dua aksi pemanas badan apabila tunduk 1-2 kepada China sebelum kalah 0-1 di tangan tuan rumah, Qatar.
“Saya rasa dengan aksi persahabatan ini kita tahu di mana kekuatan dan kelemahan kita. Ia beri cabaran besar sebab ini adalah kejohanan besar dan saya harap persahabatan yang dilalui dapat membantu kita,” jelas Mukhairi yang juga pemain tengah Selangor FC.