PETALING JAYA – Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim mengesahkan tahap kesihatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berada dalam keadaan baik dan bukan seperti yang difitnah oleh pihak tidak bertanggung jawab, tempoh hari.
Muhammad Kamil atau lebih dikenali sebagai Kamil Munim berkata, mengalami demam dan alahan adalah perkara biasa bagi individu berusia 76 tahun malah beliau juga mempunyai jadual kerja yang padat.
“Sebagai antara individu yang dekat dengan Perdana Menteri, saya mengesahkan bahawa keadaan dan tahap kesihatan beliau jauh lebih baik dari sebahagian kita meski diasak dengan jadual kerja yang padat.
“Namun, kecekalan, semangat, ketangkasan serta kecerdasan beliau untuk bekerja terus mengampuh, malah untuk kami yang berada di barisan staf dan yang jauh lebih muda ini untuk mengejar ‘pace’ kerjanya juga kadang-kadang tertinggal,” katanya.
Ujarnya, meskipun bulan Ramadan dan Syawal adalah bulan suci serta peristiwa penting buat umat Islam, tetap sahaja wujud pihak yang menghambur fitnah terhadap Anwar Ibrahim.
“Justeru, mesej atau pengajaran dari kedua-dua bulan suci ini tidak menembus dhamir atau nurani mereka untuk memaknainya dengan amal dan sikap yang lebih baik.
“Lebih parah, naratif longkang dan rendah akal ini diperpanjang oleh sebilangan pendukung gerombolan yang mahu menegakkan Islam.
“Ini ternyata mendukacitakan tatkala Islam melarang serta mencegah umatnya dari sebarang unsur fitnah, serta Islam bertegas keras bahawa memfitnah mana-mana insan adalah umpama membunuh insan tersebut. Penegasan ini juga tidak sampai ke benak sebilangan mereka,” ujarnya.
Tambah beliau, individu yang terlibat memfitnah Anwar terlihat terdesak sehingga terpaksa mereka cerita berkait Perdana Menteri serta pentadbiran kerajaan Madani.
“Pesanan dari saya yang kerdil ini kepada beberapa individu yang menjadikan fitnah sebagai kegiatan harian, tinggalkan amalan membadutkan diri dan merosakkan fikrah masyarakat kerana Islam itu rahmah dan menolak fitnah.
“Peribadi kita tidak seharusnya dekat atau terpalit dengan amalan jelek sebegitu. Tahap pengetahuan diri mesti ditingkatkan, dan sewajarnya berjalan sederap dengan usia agar tidak semudah diperlekeh umpama ulat sampah,” pesannya.
Dalam hantaran sama, Muhammad Kamil mengges Polis Diraja Malaysia untuk mengambil tindakan dan beri ruang sebebas yang mungkin kepada pengkritik yang jujur kerana hak demokratik tidak mencakup amalan memfitnah dan rekayasa. – KOSMO! ONLINE