fbpx

Jangan hina, mereka yang tampal lubang jalan, bina TRX

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video dua individu dipercayai warga asing menari berhampiran pekarangan pintu masuk KLCC.

PETALING JAYA – Tindakan segelintir pengguna media sosial warga tempatan menyindir dan memperlekeh warga asing menyambut Hari Raya Aidilfitri di pusat membeli-belah terkemuka ibu negara dianggap sebagai melampaui batas.

Teguran tersebut diberikan oleh penyanyi rap, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 33, rentetan lambakan komen berunsur penghinaan pada beberapa siri video yang dimuat naik di media sosial baru-baru ini.

Jelas Caprice, dia merasa seakan terpanggil untuk memberi teguran tersebut meskipun dianggap tidak menyuarakan suara majoriti masyarakat tempatan.

“Ramai netizen Malaysia maki dan hina mereka (warga asing) soal apa mereka buat di sini (ibu negara), agak-agak siapa yang bina Tun Razak Exchange (TRX), KLCC (Menara Berkembar Petronas) dan siapa yang tolong tampal lubang jalan serta cuci tandas.

“Apa salahnya mereka menikmati Malaysia dan menunjukkan pada keluarga (di negara asal).

“Daripada kita hina, lebih baik cakap terima kasih sebab tolong kutipkan sampah, cuci tandas dan bina bangunan di Malaysia,” katanya menerusi hantaran video di Instagram.

Terdahulu, tular video yang dikongsikan pengguna TikTok muhammad_safii94, kelihatan orang ramai termasuk warga asing membanjiri lokasi tersebut, bahkan terdapat dua individu sedang menari di pekarangan pintu masuk KLCC.

Video tersebut mengundang pelbagai komen pengguna media sosial yang menyifatkan suasana di KLCC dan tempat tumpuan lain di ibu negara, tidak ubah seperti di luar negara.

Dalam masa sama, ada juga yang berpandangan cuti Aidilfitri ini memberi peluang kepada warga asing untuk bersiar-siar dan meluangkan masa bersama rakan-rakan selepas penat bekerja. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI