RIYADH – Seorang suami di Arab Saudi memberi hadiah satu set tayar kereta baharu beserta jambangan bunga kepada isterinya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, lapor portal berita Gulf News semalam.
Dalam klip video berkenaan, lelaki itu berkata, dia telah berbincang dengan anak-anak untuk menyampaikan hadiah ‘praktikal’ kepada ibu mereka pada hari raya yang disambut Rabu lalu.
Pada masa lalu, wanita berkenaan menerima hadiah seperti barang kemas dan minyak wangi.
“Namun, kali ini, kami membeli tayar kereta. Kami bimbang tentang reaksinya,” kata si suami.
Bagaimanapun, apa yang mengejutkan ialah wanita berkenaan gembira menerima hadiah tidak seberapa itu.
“Selain daripada yang lain, isteri saya juga memerlukan tayar baharu kerana tayar keretanya sudah haus,” kata lelaki tersebut. – AGENSI