fbpx

Hun Haqeem ikut adat, seminggu melaram baju Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TIDAK mahu membazir, saban tahun Hun akan sedekahkan baju-baju Melayunya kepada golongan yang lebih memerlukan.

SEBAGAI anak jati Sarawak, Hun Haqeem tidak pernah melupakan tradisi memakai baju Melayu selama tujuh hari berturut-turut setiap kali menjelang hari raya Aidilfitri.

Biarpun tradisi tersebut sudah kurang dititikberatkan generasi muda ini, Hun mengakui kecintaannya terhadap baju sememangnya sudah dipupuk sejak kecil.

“Ikut budaya Sarawak, setiap kali raya, golongan lelaki perlu pakai baju Melayu setiap hari selama seminggu. 

“Saya sebenarnya kasihankan generasi akan datang jika budaya itu tidak diteruskan bersama,” katanya kepada HibGlam. 

Seiring tradisi raya, bintang drama Kampung People itu juga bercuti selama tujuh hari, lengkap dengan tujuh persalinan baju Melayu untuk digayakan setiap hari.

“Saya cuti seminggu dan beraya di Sarawak. Seperti biasa, saya ada tujuh pasang baju setiap kali raya,” katanya.

Bercerita tentang kecintaan terhadap tradisi tujuh hari berbaju Melayu, pelakon 26 tahun itu mengakui, kesedaran tentang amalan tradisi tersebut hasil asuhan ibunya. 

“Semasa kecil ada juga rasa rimas apabila setiap hari mak akan minta pakai baju Melayu tetapi sebenarnya dia mahu melatih saya meneruskan kemanisan tradisi berkenaan. 

“Bila sudah besar, lama-lama saya jadi terikut. Memang berbeza ‘vibes’ beraya di KL dan Sarawak,” kongsi pemilik nama Haqeem Hermy itu.

Disebabkan amalan tradisi berkenaan, Hun sebenarnya tidak menyimpan kesemua baju Melayu yang pernah dipakai selama ini sebagai ‘harta karun’ di dalam almari rumahnya.

“Meskipun setiap tahun saya ada banyak baju Melayu untuk dipakai semasa sambutan hari raya, saya memang tidak simpan. 

“Kebanyakan baju Melayu saya disedekahkan kepada orang yang lebih memerlukan supaya tidak terbiar begitu sahaja,” tutur pelakon yang murah senyum itu.

Makanan istimewa

Cukup bangga menjadi anak Sarawak, seperkara lagi yang digemari Hun setiap bercakap soal sambutan raya semestinya juadah wajib untuk dihidangkan kepada sanak saudara dan rakan taulan.

“Selain berbaju Melayu setiap hari, perbezaan adalah mengenai jenis-jenis hidangan juadah yang sangat menarik. 

“Kami jarang makan nasi impit, rendang atau hidangan rutin seperti yang menjadi rutin di Semenanjung. Di Sarawak, kami ada masakan paling istimewa iaitu daging masak hitam gula apong. 

“Juadah wajib yang harus ada di atas meja semestinya kek lapis Sarawak dan  laksa Sarawak,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI