fbpx

Carnival 2024 tampil ciri-ciri lebih agresif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MODEL terbaharu Carnival ini menggunakan rim hitam bersaiz 19 inci.

PADA 7 Februari lalu, pengedar tunggal Kia di Malaysia, Dinamikjaya Motors Sdn. Bhd. telah mengumumkan pemasangan tempatan tahun 2024 untuk varian Carnival tujuh tempat duduk dan lapan tempat duduk.

Kedua-dua varian tersebut sedia ditempah oleh para pembeli tempatan.

Sejujurnya, Kia Carnival generasi keempat ini ibarat sebuah kenderaan dalam segmen Grand Utility Vehicle (GUV) yang sempurna.

Ini kerana, kenderaan tersebut dapat memberi kepuasan dan keselesaan kepada pemandu serta penumpang.

Pada pandangan penulis, penilaian itu berlandaskan penampilannya yang berani dan moden, selain lebih menyerlah berbanding pesaing-pesaing lain dalam kelasnya.

Selain itu, pengalaman pemanduan yang menyeronokkan juga memberi nilai tambah nilai yang baik.

Rakan-rakan media penulis yang telah memandu uji Kia Carnival turut menyokong kenyataan itu.

Kia Carnival 2024 memiliki rekaan depan yang berani dan moden.

Baru-baru ini, penulis telah diberi peluang untuk memandu uji Kia Carnival varian tujuh tempat duduk selama beberapa hari.

Perubahan yang penulis perasan pada bahagian luaran adalah penggunaan rim warna hitam bersaiz 19 inci.

Walaupun hanya melibatkan perubahan kecil, namun ia memberikan karakter yang agresif pada bahagian luaran.

Sekadar informasi, sebelum ini model Kia Carnival menggunakan rim bersaiz 18 inci.

Ciri-ciri lain seperti lampu nyalaan siang (DRL) LED, bumbung suria dwikuasa, pintu gelongsor kuasa pintar dan pintu belakang kuasa pintar serta rekaan pada bahagian luaran masih sama.

Kia Carnival ini masih mengekalkan enjin 2.2 liter turbo diesel dengan transmisi lapan kelajuan automatik serta dilengkapi E-Shift.

Kombinasi itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 199hp pada 3,800 rpm dan tork tertinggi mencapai 440Nm ketika 1,750 hingga 2,750 rpm.

RUANG kabin merupakan bahagian paling menyerlah pada Kia Carnival 2024.

Di atas kertas, kelajuan maksimum GUV ini mampu mencapai 190 kilometer sejam (kmj).

Secara purata, penggunaan bahan apinya sekitar 6.5 liter untuk perjalanan sejauh 100 kilometer (km).

Untuk makluman, model ini menggunakan tangki diesel bersaiz 72 liter.

Masuk ke kabin, ternyata ia merupakan ruang paling menonjol untuk model ini.

Hal ini kerana keluasannya yang boleh bawa tujuh penumpang dengan ruang bagasi cukup besar.

Susun atur ergonomik dengan menggunakan material berkualiti menyerlahkan rasa premium kepada sesiapa yang menaiki model ini.

Selain reka bentuknya yang mengagumkan, Kia Carnival juga mempunyai pelbagai ciri inovatif.

Ruang penyimpanan barang Kia Carnival 2024 cukup besar dan luas.

Sama ada untuk perjalanan jauh atau di sekitar bandar, model ini mampu memenuhi keperluan anda dengan cukup mudah.

Daripada sistem teknologi canggih kepada konfigurasi tempat duduk serba boleh, Kia Carnival direka untuk menyesuaikan diri dengan gaya hidup yang lancar.

Kini, varian tujuh tempat duduk menampilkan bahagian dalaman dengan kemasan tona hitam dan kelabu, sekali gus memberikan estetika anggun serta canggih.

Khas untuk varian tujuh tempat duduk, ia hadir dengan kerusi santai premium di barisan kedua yang boleh dibaringkan bersama perehat kaki.

Menariknya, Kia Carnival 2024 hadir dengan sistem infotainment bersaiz 12.3 inci serta ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto bagi memudahkan pengguna.

Untuk kemudahan dan ketersambungan tambahan, Kia Carnival dilengkapi pengecasan telefon pintar tanpa wayar, bluetooth dan tujuh port USB.

Ciri-ciri standard ini menyerlahkan komitmen Kia Carnival untuk menyediakan pengalaman pemanduan canggih dan bersambung bagi memastikan pemandu serta penumpang sentiasa berhubung ketika di jalan raya.

Kia Carnival juga dilengkapi dengan ciri keselamatan canggih yang baru ditambah seperti Pemantau Pandangan Titik Buta (BVM), manakala ciri keselamatan lanjutan lain kekal tidak berubah.

Kesimpulannya, penulis lebih suka tona warna ruang kabin yang lama kerana nampak lebih mewah dan luas.

Namun, bagi sebuah kenderaan keluarga, warna gelap lebih sesuai digunakan.

Penambahbaikan pada model keluaran 2024 ini memberikan lebih nilai tambah kepada pelanggan baharu.

Kewujudan GUV ini sudah cukup untuk memberikan satu penanda aras baharu kepada pesaing-pesaing yang menjual kenderaan hampir sama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI