fbpx

‘Biar mahal, asal dapat balik Sabah, Sarawak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SETIAP kali menjelang lebaran perantau dari Sabah dan Sarawak yang bekerja di Lembah Klang dilema untuk membayar kos penerbangan pulang beraya. – GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Keterujaan orang ramai untuk balik beraya menyebabkan ada yang sanggup menghabiskan belanja ribuan ringgit semata-mata untuk membeli tiket kapal terbang.

Situasi ini dialami kebanyakan perantau dari Sabah dan Sarawak yang kini tinggal dan bekerja di sekitar Lembah Klang.

Ujar mereka, harga tiket yang terlalu tinggi setiap kali musim perayaan dianggap sa­ngat membebankan terutama­nya golongan perantau yang sudah berkeluarga dan mempunyai ramai anak.

Malah, ada yang terpaksa menghabiskan gaji sebulan iaitu sekitar RM4,000 hingga RM6,000 untuk membeli tiket kapal terbang bagi perjalanan dua hala sempena Hari Raya Aidilfitri.

Seorang perantau dari Papar, Sabah yang mahu dikenali Hasni, 46, berkata, dia menghabiskan kira-kira RM4,800 hanya untuk membeli tiket balik beraya bagi empat beranak.

Katanya, harga tiket itu bersamaan dengan gaji sebulan yang diperolehnya dengan bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang di Shah Alam, Selangor.

“Sebenarnya saya sekeluarga tidak merancang pun untuk balik beraya di Sabah tahun ini memandangkan harga tiket yang terlalu mahal.

“Bagaimanapun, selepas kerajaan mengumumkan harga maksimum iaitu RM599 bagi pe­nerbangan sehala kelas ekonomi pada Februari lalu, kami mula bertukar fikiran dan ingin balik beraya,” katanya di sini baru-baru ini.

Tambah Hasni, walaupun harga tersebut dianggap agak murah untuk penerbangan pada musim perayaan, dia masih perlu mengeluarkan belanja yang besar.

“Jika seorang, kos pener­bangan ke Kota Kinabalu itu mungkin tidak terlalu terasa tetapi jika sudah berkeluarga, nilainya sangat tinggi.

“Untuk saya dan isteri serta dua orang anak, kami perlu membelanjakan kira-kira RM1,200 seorang bagi perjalanan pergi dan balik,” jelasnya.

Bagi Mohamad Ali, 51, dari Tawau pula, dia tidak mempunyai pilihan selain mengeluarkan belanja besar mencecah RM8,200 untuk membeli tiket kapal terbang setiap kali tibanya Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, harga tiket itu adalah untuk dia dan isteri serta empat orang anaknya dengan setiap seorang memerlukan kos sekitar RM1,300 bagi perjalanan dua hala.

“Saya beli tiket ini sejak November tahun lalu dan semua tahu, harga tiket ke Tawau adalah yang paling mahal setiap kali tibanya musim perayaan terutama hari raya.

“Ketika itu, harga yang dipaparkan adalah sekitar RM600 seorang bagi satu hala dan ba­yangkan berapa banyak kos yang diperlukan untuk enam beranak,” soalnya.

Tambahnya, kos itu tidak termasuk bayaran tambahan lain seperti bagasi dan pemilihan kerusi.

Dalam pada itu, situasi sama turut dialami seorang perantau dari Kota Bharu dikenali Ruzaili, 36, yang perlu membayar sekitar RM3,200 untuk dia dan ibunya pulang ke kampung.

“Saya baru sahaja beli tiket pada minggu lalu dan harganya adalah RM800 untuk perjalanan sehala.

“Biasanya saya akan pandu sendiri kereta untuk pulang ke Kota Bharu, tetapi meman­dangkan kesihatan ibu yang tidak berapa baik, saya memilih untuk menaiki kapal terbang.

“Memang agak terbeban de­ngan harga tiket kerana jumlah itu hampir separuh daripada gaji bulanan saya,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI