PETALING JAYA – Sebahagian rakyat Malaysia terutama yang sudah berkeluarga didapati berbelanja besar antara RM3,000 hingga RM10,000 yang bersamaan dua bulan gaji dalam meraikan Hari Raya Aidilfitri.
Perbelanjaan itu meliputi pembelian pakaian raya, kuih raya, duit raya, keperluan memasak juadah raya serta segala kos perjalanan untuk pulang ke kampung dan balik semula ke bandar selain menghiasi rumah.
Pekerja swasta, Nor Masyitah Adnan, 35, berkata, dia telah berhabis kira-kira RM10,000 untuk perbelanjaan tiga beranak termasuk hampir separuh daripada jumlah tersebut bagi pembelian tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke Semporna, Sabah.
Katanya, sambutan Aidilfitri kali ini disambut di rumah mentuanya di Sabah setelah enam tahun tidak pulang sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19 lagi.
“Lama kami tak balik Sabah, jadi lebih sikit kami keluarkan untuk raya kali ini. Suami kata buat belanja mak dan adik-adik dia di Sabah, bukan selalu jumpa mereka.
“Tiket penerbangan kami tiga beranak pun dah cecah RM3,000, itu pun dah beli tiga bulan lebih awal. Kalau beli saat akhir ada yang cecah RM1,500 untuk dua hala.
“Pakaian raya pun lebih dua pasang kami beli sebab kalau di Sabah, sambutan hari raya mereka lebih meriah berbanding Semenanjung. Pakaian pun cukup seminggu kami sediakan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Sementara itu, pekerja swasta, Nurul Hidayah Ahmad Kamal, 33, mengakui meskipun masih hidup berdua bersama suami tersayang, namun jumlah keseluruhan yang dihabiskan untuk meraikan Aidilfitri kali ini sekitar RM6,000.
Bagi Nurul Hidayah, menjadi satu kepuasan apabila dapat berbelanja besar menyambut Aidilfitri kerana mahu memeriahkan suasana raya itu.
“Baju saya sahaja ada dalam empat pasang, kemudian ada buat sedikit ubah suai rumah dengan memasang jubin di ruangan membasuh.
“Beli beberapa perhiasan raya. Duit tol dan minyak untuk perjalanan saya dari Manjung, Perak ke Kedah ke Perlis dan patah balik Perak, kemudian Ahad ini (esok) nak ke Melaka pula.
“Kos perjalanan paling banyak kena sedia, sambil berjalan mesti ada nak singgah mana-mana yang memerlukan keluar duit. Tambah pula, anak sedara dah ramai, jadinya lagi banyak duit raya kena keluar untuk kongsi bersama,” katanya.
Tambahnya, harga barang yang semakin tinggi ketika ini turut menyumbang kepada perbelanjaan besar dalam menyambut raya puasa.
“Raya pertama sahaja untuk kos barang dapur habis RM500 bagi menyediakan menu nasi impit kuah kacang, nasi tomato, ayam masak merah, rendang kerang, kuih raya dan minuman.
“Raya kedua pun sama juga, sebab raya pertama kebanyakan jamu untuk seluruh ahli keluarga, raya kedua akan ada kawan-kawan datang rumah.
“Musim raya harga barang basah agak mahal, setiap tahun macam ini. Macam mana nak berjimat, sebab ia antara keperluan kena beli. Jadi siapkan duit sahaja lebih,” jelasnya.
Seorang lagi, Khairul Che Ram, 51, juga telah berbelanja hampir RM7,000 dalam menyambut Aidilfitri tahun ini.
“RM3,000 sahaja untuk baju raya anak-anak, isteri dan saya sendiri. Duit raya anak sedara, keluarga dah habis RM2,000. Selebihnya untuk beli barang masak, duit minyak dan tol untuk pergi beraya rumah sedara sepanjang dua hari raya,” katanya.
Menurut bapa kepada empat anak itu, pada tahun ini dia hanya perlu menampung perbelanjaan dua anak memandangkan dua lagi sudah bekerja dan berkahwin.
“Tahun ini sebenarnya ada jimat juga, sebab anak sulung dan yang kedua sudah ada pendapatan mereka sendiri.
“Namun tahun ini saya mewahkan untuk raikan keluarga dengan makan-makan, hadiah raya. Seronok apabila lihat mereka gembira, bermewah untuk raya hanya setahun sekali. Tak salah kalau mampu untuk sediakan pada hari kebesaran ini,” kongsinya.