LIPIS – Hasrat pengawal keselamatan, Mazuan Mat Zin, 44, untuk melangsungkan perkahwinan dengan teman wanitanya tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan jalan raya di laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) berdekatan Merapoh.
Turut maut dalam kemalangan pada pukul 5.30 petang itu ialah teman wanitanya, Kisnawita Saad, 46, yang membonceng motosikal jenis Honda RS-X dalam perjalanan pulang ke Sungai Buloh dari kampung Mazuan di Kuala Krai, Kelantan.
Kakak Mazuan, Marliana Mat Zin, 45, berkata, adiknya membawa pulang teman wanita ke kampung sempena Hari Raya Aidilfitri untuk memperkenalkan kepada keluarga.
“Mazuan sudah memberitahu keluarga, dia sudah ada teman wanita dan sekiranya ada jodoh, dia ingin berumah tangga.
“Dia sangat gembira memberitahu akan pulang bersama wanita berkenaan (Kisnawita) untuk diperkenalkan kepada kami pada cuti hari raya ini,” katanya di pekarangan bilik forensik Hospital Lipis di sini semalam.
Marliana berkata, Mazuan yang juga anak keempat daripada tujuh beradik mengenali Kisnawati ketika mereka bekerja di sebuah syarikat di Damansara beberapa bulan lalu.
“Adik merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat, tetapi masih belum menetapkan tarikh. Saya difahamkan keluarga teman wanita adik di Perak sudah tahu hubungan mereka dan membenarkannya berjumpa kami,” katanya.
Ujarnya, Mazuan juga sanggup menunggang motosikal bersama teman wanita dengan jarak jauh kerana bersungguh-sungguh mahu membawa Kisnawita berjumpa keluarga di Kelantan.
Sementara itu, Marliana berkata, keluarganya mengetahui berita kemalangan itu daripada seorang ahli keluarga menjelang pukul 6 petang semalam dan mereka bergegas ke Hospital Lipis untuk membawa pulang jenazah Mazuan, seterusnya dikebumikan di Kampung Enggong, Kuala Krai malam tadi. – KOSMO! ONLINE