PARIT – Seorang wanita warga emas, Nor Paezah Abdullah, 63, pengsan beberapa kali selepas melihat rumahnya di Jalan Masjid As-Saadah di Kampung Tua, Belanja Kiri dekat sini musnah dalam kebakaran kira-kira pukul 1.44 petang tadi.
Menurut anak Nor Paezah, Megat Khairil Idlan Megat Abu Shahudin, 35, kebakaran yang bermula di bahagian tengah rumah itu disedari ketika dia mahu ke dapur.
“Ketika itu saya cuma fikir untuk padamkan api sahaja dan selamatkan barang-barang penting. Masa itu, tidak sedar langsung yang kedua-dua tapak kaki melecur. Apabila api sudah tidak terkawal, barulah saya keluar.
“Bila emak lihat keadaan rumah, dia beberapa kali tumbang. Saya risau dengan keadaan kesihatan emak sebab dia ada darah tinggi Saya mintak emak dibawa berehat ke rumah nenek yang terletak di sebelah. Emak masih trauma hingga tidak boleh bercakap,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar, Muhammad Asyraf Mat Isa berkata, turut musnah dalam kebakaran itu empat buah motosikal yang melibatkan kemusnahan 80 peratus. – KOSMO! ONLINE