RAUB – Aliran trafik dari Lipis menghala ke Raub kembali sesak dengan kenderaan ekoran perantau dari Kelantan pulang ke ibu negara selepas cuti Hari Raya Aidilfitri.
Tinjauan mendapati laluan mulai sibuk dari Pekan Dong di sini menghala ke Kampung Sempalit sejauh kira-kira 13 kilometer (km) bagaimanapun aliran trafik kembali lancar di susur masuk ke Lingkaran Tengah Utama (LTU) Bypass Raub.
Seorang pengguna jalan raya, Aiman Syakir Ahmad, 40, berkata, dia dan keluarga memulakan perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan kira-kira pukul 7 pagi bagi mengelakkan kesesakan.
Bagi Khairul Fazly Hamidon, 37, dia dan keluarganya mengambil keputusan untuk pulang lebih awal hari ini kerana akan mula bekerja esok.
“Saya ingat hari ini jalan raya kurang sesak, tetapi meleset kerana orang ramai sudah mula bergerak balik sejak awal pagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE