PORT DICKSON – Tempat logistik (Side A) simpanan sisa bahan kimia berjadual berkeluasan 100×100 kaki persegi di Cenviro Sdn. Bhd. (Kualiti Alam), Ladang Tanah Merah, A3 Division, Bukit Pelanduk di sini, musnah dalam kejadian kebakaran yang berlaku petang tadi.
Komander Operasi, Penguasa Bomba, Rohaya Alias berkata, tiada mangsa terbabit dalam kejadian itu dan pihak bomba kini masih menjalankan kerja memadam kebakaran secara ‘offensive’.
“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 6 petang tadi dan telah menggerakkan pasukan bomba dari Balai Bomba Port Dickson, Seremban 2, Seremban dan Rantau ke lokasi kejadian melibatkan yang melibatkan keseluruhan 66 orang anggota.
“Sebaik tiba pada pukul 6.16 petang, kami mendapati api marak melibatkan kawasan logistik tersebut yang berkeluasan 100×100 kaki persegi. Bagaimanapun, api dapat dikawal pada pukul 8.18 malam,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.- KOSMO! ONLINE