SEMATAN – Seorang mati lemas, seorang masih hilang dan dua lagi selamat selepas dihanyutkan kepala air ketika mandi di Air Terjun Kampung Sebat, di sini hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut kira-kira pukul 4.55 petang.
“Kejadian melibatkan empat mangsa lelaki berumur 20 tahun. Dua mangsa selamat setelah berjaya dikeluarkan oleh penduduk kampung. Seorang mangsa turut dikeluarkan oleh penduduk kampung, tetapi disahkan meninggal dunia oleh paramedik di tempat kejadian,: katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) belum menemui seorang lagi mangsa dan ditangguhkan pukul 7 malam tadi, namun pasukan Rela dikerahkan untuk bersedia di lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE