KOTA BHARU – Seorang ibu tunggal pilu apabila tinggal sehelai sepinggang dan terpaksa menyambut Aidilfitri dengan tangan melecur selepas rumahnya terbakar dalam kejadian di Lorong Sate Baung, Pengkalan Chepa, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, Rosniza Yusoff, 45, melecur pada tangan kiri manakala anak saudaranya, Mohd.Haris Hakimin Azmi, 13, cedera ringan di tangan tangan ketika cuba menyelamat beg mereka yang sedang dijilat api.
Rosniza berkata, ketika kejadian, dia bersama tiga anak yang berusia 16 hingga 21 tahun termasuk ibunya yang berusia 75 tahun berada di dalam rumah sebelum melihat api di dalam bilik di tingkat atas rumah.
Menurutnya, kebakaran itu diselangi dengan letupan kecil dan dia menyangka kanak-kanak bermain mercun di luar rumah.
“Saya terasa bahang panas dari tingkat atas lalu naik dan api menyambar lengan apabila membuka pintu bilik. Menyedari api semakin marak, saya menjerit supaya anak-anak dan ibu keluar rumah untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian hari ini.
Rosniza yang bekerja sebagai pembantu kedai runcit memberitahu, dia hanya sempat menyelamatkan dokumen penting sebelum bergegas keluar. – KOSMO! ONLINE