fbpx

Lelaki memandu tanpa lesen, cukai jalan dicekup bawa mercun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah kereta jenis BMW 328i(a) yang ditahan di Kampung Kusial Baru, Tanah Merah semalam. FOTO IHSAN POLIS

TANAH MERAH – Polis menjumpai satu kotak berisi pelbagai jenis mercun selepas menahan pemandu sebuah kereta yang cuba meloloskan diri akibat memandu tanpa lesen dan cukai jalan kereta tamat tempoh di Kampung Kusial Baru, di sini semalam.

Lelaki yang memandu kereta jenis BMW 328i(a) itu ditahan semasa cuba melarikan diri sejauh dua kilometer selepas membuat pusingan U di simpang tiga Taman Kota Harmoni, di sini.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd. Haki Hasbullah berkata, anggota polis bertindak untuk menahan kereta tersebut selepas melihat pemandunya membuat pusingan U di tempat yang tidak dibenarkan.

Menurutnya, kereta itu kemudiannya memecut laju dan dipandu secara melulu sehingga membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

“Suspek berjaya ditahan selepas dikejar anggota polis sejauh dua kilometer. Pemeriksaan di dalam but kereta itu menjumpai satu kotak yang mengandungi pelbagai jenis mercun.

“Lelaki itu mengaku kesemua mercun itu untuk kegunaannya sendiri. Dia juga bertindak melarikan diri kerana tidak mempunyai lesen memandu dan cukai jalan kereta tersebut tamat tempoh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Haki memberitahu, siasatan lanjut mendapati, cukai jalan kereta tersebut tamat pada 8 Oktober 2021, namun tiada sebarang rekod kenderaan hilang.

Menurutnya, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah di sini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI