MELAKA – Anggota polis berpangkat koperal yang terlibat dalam kes kemalangan yang mengorbankan remaja berusia 18 tahun ditahan bagi membantu siasatan, pagi tadi.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, tangkapan dibuat di Pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah pada pukul 9 pagi.
“Kita menahan koperal berusia 37 tahun yang terlibat dalam kemalangan yang mengorbankan nyawa remaja di Jalan Gangsa-Kesang Durian Tunggal pada 10 April lalu.
“Sehingga kini rakaman percakapan masih dijalankan. Jika dia gagal memberi kerjasama kita akan membuat keputusan untuk reman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, setakat ini enam laporan polis diterima berkaitan insiden berkenaan dan tiga rakaman percakapan telah dibuat terdiri daripada saksi serta ahli keluarga mangsa.
“Ujian air kencing mendapati anggota itu bebas bahan terlarang. Siasatan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan denda maksimum RM50,000,” ujarnya.
Kelmarin Kosmo! melaporkan Mohammad Khairul Basahri, 18, maut selepas motosikal jenis Yamaha 135 LC yang dia tunggang merempuh trak pikap jenis Toyota Hilux di Jalan Gangsa-Kesang Durian Tunggal pada pukul 2.56 pagi.
Nahas berlaku ketika pihak polis sedang melakukan rondaan mencegah lumba haram susulan menerima aduan daripada penduduk setempat.
Ketika kenderaan polis itu hendak membelok ke kanan, tiba-tiba mangsa yang datang dari arah bertentangan merempuh bahagian hadapan trak pikap itu menyebabkan remaja itu cedera parah.
Mohammad Khairul bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada pukul 12.37 tengah malam ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka. – KOSMO! ONLINE