fbpx

JSPT siap siaga pergerakan pulang ke ibu kota hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Nasri Omar.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah bersiap siaga di lokasi-lokasi tumpuan berlaku kemalangan dan kesesakan susulan pergerakan pulang ke ibu kota, hari ini.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd. Nasri Omar berkata, pelbagai elemen telah diatur gerak dalam memastikan perjalanan pengguna jalan raya lancar.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan agar semua pengguna jalan raya merancang dahulu pergerakan terutama bagi mereka yang perlu menempuh perjalanan jauh.

“Pengguna dinasihatkan agar mengenal pasti lokasi yang perlu berhenti untuk berehat jika perlu menempuh perjalanan melebihi masa daripada perjalanan biasa.

“Semua pengguna jalan raya bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan selama berada di dalam pergerakan lalu lintas tanpa mengira di mana jua.

“Jalan raya bukan tempat untuk mengejar masa atau menunjukkan kehebatan pemanduan tetapi satu medium penting untuk perhubungan dari satu lokasi ke satu lokasi,” Katanya kepada Kosmo! hari ini.

Semalam, Op Selamat ke-22 sempena Hari Raya Aidilfitri merekodkan sebanyak 1,288 kemalangan jalan raya dan 16 kematian di seluruh negara.

Angka kematian akibat kemalangan merekodkan penurunan berbanding 35 kematian yang dicatatkan pada hari ketiga Op Selamat Rabu lalu.

Menurut Nasri, mengekori rapat antara kenderaan terlalu dekat dan tidak nampak objek dari arah hadapan atau sama arah adalah antara punca berlakunya kemalangan jalan raya.

“Selain itu, cuai ketika keluar masuk simpang jalan, ubah haluan, memotong atau sedang memotong.

“Leka atau mengantuk serta keletihan turut boleh menjadi punca,” jelasnya.

Terdahulu, media melaporkan PDRM melaksanakan Op Selamat ke-22 sempena Aidilfitri tahun 2024 bermula 8 hingga 13 April ini. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI