JAKARTA – Seorang bapa di Indonesia sanggup terjun ke dalam sebatang sungai untuk menyelamatkan anaknya yang diseret seekor buaya, lapor portal berita TribunJateng.com hari ini.
Buaya itu menerkam seorang pemuda berusia 19 tahun yang sedang mandi dalam kejadian di Kampung Kelumpang, Daerah Indragiri, wilayah Riau kelmarin.
Ketua polis tempatan, Budi Setiawan mengesahkan kejadian itu berlaku sekitar pukul 4.30 petang (waktu tempatan). Katanya, mangsa mengalami luka akibat digigit buaya.
Budi berkata, reptilia itu menerkam tangan mangsa dan menariknya ke dalam sungai, menyebabkan dia menjerit meminta tolong.
“Bapa mangsa yang mendengar jeritan anaknya, terjun ke dalam sungai dan memukul kepala buaya itu.
Dua jiran datang membantu dan mereka bertiga memukul kepala haiwan itu berulang kali.
“Buaya itu akhirnya melepaskan gigitannya (ke atas mangsa) dan beredar,” kata Budi.
Mangsa dihantar ke Hospital Awam Tembilahan untuk mendapatkan rawatan perubatan. – AGENSI