KUALA LUMPUR – Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menampilkan aksi terbaik mereka di Kejohanan Badminton Asia (BAC) selepas mengatasi beregu pilihan ketujuh, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi sebentar tadi.
Pada saingan tersebut, pasangan negara yang turun selaku pilihan kelima menguasai set pertama perlawanan dengan garang apabila tidak membuka peluang kepada pasangan China sebelum menang 21-14.
Biarpun pasangan China cuba bangkit pada set kedua perlawanan namun Aaron-Wooi Yik tidak membiarkan perkara tersebut berlaku sebelum mencatat kemenangan straight set 21-14, 21-15 dalam tempoh 30 minit.
Kemenangan itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik mengekalkan rekod tanpa kalah mereka ke atas lawan berkenaan tahun ini selepas turut menang ketika pertemuan pertama mereka di suku akhir Terbuka India, Januari lalu.
Hasil keputusan tersebut, gandingan negara itu sama ada akan menentang rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani atau gandingan dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi-lin yang bersaing pada aksi separuh akhir hari ini. -KOSMO! ONLINE