BATU PAHAT – ” Terima kasih Ummi”, hanya itu ayat yang terpacul dari mulut Eusuf Abdul Fatah,5, sebaik ditanya tentang ibu saudaranya Norhisham Samsusah,37.
Eusuf yang juga anak kepada Mira Sharmilah Samsusah kini terpaksa menumpang kasih ibu saudaranya itu selepas ibunya mati dibunuh seorang lelaki pada 14 Disember tahun lalu ketika keluar untuk mencuci pakaian di kedai dobi berhampiran rumahnya di Taman Soga di Batu Pahat.
Menurut Norhisham atau lebih dikenali sebagai Ayu, Sejak Eusuf kehilangan ibunya Bella, dia seakan mengharapkan seseorang untuk memberikan belaian kasih sayang seorang wanita yang selama ini sentiasa bersamanya ketika susah dan senang.
Melihat keadaan itu, Ayu merasakan perlu menjadi “pengganti” kepada ibunya agar dia (Eusuf) tidak terlalu merasa kehilangan orang yang sentiasa menyayangi dan memeluknya ketika ingin mendapatkan belaian kasih sayang.
“Ketika dipakaikan baju raya tadi (semalam), Eusuf ada berkata, “kita beraya tahun ini, mummy tak ada pun bersama”.
“Kata-kata yang terpacul dari mulutnya menggambarkan kerinduannya terhadap Bella yang sudah lebih empat bulan tidak ditemuinya itu,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Banang Jaya disini semalam.
Menurut Norhisham lagi, kebiasaannya ketika Hari Raya Aidil Fitri, Bella adalah orang paling teruja dalam keluarganya untuk melakukan persiapan khususnya kepada dua anak-anaknya iaitu Eusuf dan Mariam, 3.
Ujarnya, mereka akan balik ke Kampung di Kuala Selangor dua atau tiga hari lebih awal kerana mahu berkumpul bersama keluarga untuk membuat persiapan seperti menghias rumah dan membuat kuih atau biskut raya.
“Kini semua itu tidak ujud lagi dan hanya tinggal kenangan, malah sambutan raya tahun ini dirasakan terlalu sepi apabila tiada lagi celoteh Bella ketika menyiapkan anak-anaknya.
“Selagi hayat dikandung badan, saya akan memberikan kasih sayang pada Eusuf dan Mariam seperti diberikan ibunya, Bella sebelum ini,” katanya.-KOSMO! ONLINE