IPOH – Wanita warga asing berusia 37 tahun yang ditahan kerana dipercayai terlibat kes kematian suaminya di Tanjung Rambutan di sini kelmarin, direman selama tujuh hari sehingga 16 April ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan setakat ini enam individu telah dipanggil bagi memberi keterangan.
“Setakat ini tangkapan hanya dibuat ke atas isteri mangsa. Siasatan lanjut masih diteruskan termasuk mengenal pasti motif kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, mayat seorang lelaki berusia 25 tahun ditemui di atas lantai dalam sebuah bilik rumah belum siap dibina dan bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan kecederaan di kepala. – KOSMO! ONLINE