REMBAU – Polis menafikan seorang penunggang motosikal maut kemalangan selepas menyertai aktiviti lumba motosikal haram dalam kejadian di kilometer 32, Jalan Seremban-Tampin, dekat Pekan Chengkau, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan, Shaik Abd Kadar Shaik Mohamed berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2.08 pagi itu, mangsa iaitu lelaki berusia 22 tahun berasal dari Kampung Seri Melenggang, Kota, disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik di lokasi kejadian.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, mangsa yang bekerja sebagai operator kilang dalam perjalanan dari arah Seremban menuju ke arah Tampin dengan menunggang motosikal jenis Yamaha LC.
“Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal Yamaha LC dipercayai telah hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan telah melanggar motosikal jenis Yamaha Y15R yang datang dari arah Tampin.
“Akibat daripada kemalangan ini, penunggang meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala manakala penunggang sebuah lagi motosikal mengalami kecederaan parah dan sedang menerima rawatan di Hospital Rembau,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Shaik Abd Kadar lagi, hasil siasatan lanjut, tiada maklumat berkaitan perlumbaan atau aktiviti samseng jalanan bagi kes tersebut, namun pihak polis tidak menolak sebarang kemungkinan berlaku aktiviti bermain motor di malam raya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan. – KOSMO! ONLINE