PETALING JAYA — Penyampai radio, Fizi Ali mengumumkan bakal menimang cahaya mata tidak lama lagi selepas tujuh bulan mendirikan rumah tangga buat kali kedua.
Fizi atau nama sebenarnya Mohd Hafizudin Alimudin, 37, menerusi Instagram miliknya memuat naik foto mengenakan baju sedondon berwarna hitam bersama isterinya, Siti Zulaikha dan anak tirinya.
“Selamat hari raya, maaf zahir dan batin daripada kami berempat,” tulisnya ringkas sebagai kapsyen.
Menerusi foto yang dimuat naik itu juga turut kelihatan ‘baby bump’ Zulaikha namun tidak dapat dipastikan berapa usia kandungannya.
Semakan Kosmo! Online menerusi ruangan komen hantaran tersebut mendapati rata-rata netizen menzahirkan rasa teruja atas khabar gembira yang dikongsikan.
“Besar dah nampak baby bump, raya tahun depan empat orang lah nampaknya, bahagia nampak Fizi sekarang,” komen seorang netizen.
“Wahh, Akhirnya umum juga! tahniah Fizi dan isteri,” demikian komen seorang lagi netizen.
Pun begitu, usaha Kosmo! Online untuk mengetahui lebih lanjut perkhabaran gembira itu tidak berjaya apabila Fizi tidak menjawab panggilan mahupun membalas mesej.
Fizi dan Zulaikha mendirikan mahligai cinta pada 23 Oktober tahun lalu.
Sebelum itu, Fizi pernah berkahwin dengan pelakon Shakilla Khoriri pada 18 Januari 2018 namun mengumumkan penceraian pada Disember 2021.
Mereka dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Ameena Sofia yang kini berusia 5 tahun. – KOSMO! ONLINE.