PETALING JAYA – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru orang ramai agar memanfaatkan Aidilfitri bagi membina iltizam demi memperkukuh perpaduan antara kaum.
Menurut beliau, perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia dapat dieratkan dengan amalan kunjung-mengunjungi, bermaaf-maafan dan mendoakan di antara satu sama lain pada Hari Raya Aidilfitri.
“Selesai sudah menjalani ibadah puasa, kini tibanya 1 Syawal bagi seluruh umat Islam merayakan Hari Raya Aidilfitri sebagai tanda kesyukuran setelah sebulan bermujahadah menahan diri dari lapar dari lapar dan dahaga, serta godaan hawa nafsu.
“Sudah semestinya amalan kunjung-mengunjungi, bermaaf-maafan, mendoakan antara satu sama lain, serta merapatkan ukhuwah menjadi agenda utama setiap kali tibanya Aidilfitri.
“Ini jugalah masanya untuk kita kekalkan semangat perpaduan sesama kita tanpa mengira agama dan bangsa,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga mengingatkan umat Islam agar tidak melupakan saudara seagama di Palestin dan tetap menitipkan doa buat mereka pada hari yang mulia ini.
“Semoga Allah sentiasa melindungi mereka dan kurniakan mereka kekuatan dalam menghadapi ujian ini,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof turut menitipkan pesanan kepada umat Islam agar terus istiqamah serta bersederhana dalam apa jua perkara terutama ketika menyambut Syawal.
“Syawal kini menjelma lagi selepas sebulan kita berpuasa. Semoga segala amal ibadah kita sepanjang sebulan Ramadan diterima oleh Allah SWT. Ramadan telah hadir sebagai bulan yang sarat dengan perkara yang cukup mendidik jiwa. Syawal pula diraikan tanda kemenangan.
“Raikanlah Aidilfitri dengan penuh rasa kesyukuran. Yang jauh berkirim salam, yang dekat berkunjung-kunjungan. Semoga ukhuwah, silaturrahim dan ikatan perpaduan sesama kita akan bertambah utuh,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air juga mengingatkan orang ramai agar memandu dengan selamat dan memadam suis semua peralatan elektrik di rumah sebelum pulang ke kampung halaman masing-masing.
“Selain itu, pastikan paip air juga ditutup rapat supaya air tidak melimpah ketika kita meninggalkan rumah.
“Dengan ini, barulah kita dapat menjamah ketupat dan rendang yang dihidangkan pada hari raya dengan tenang bersama keluarga tercinta,” katanya. – KOSMO! ONLINE