KOTA TINGGI – Percutian sebuah keluarga di Pantai Tanjung Balau di sini bertukar tragedi apabila salah seorangnya ditemui lemas.
Mangsa, S Prakash, 25, ditemui tidak bernyawa selepas hilang ketika mandi di pantai tersebut kira-kira pukul 10.15 pagi sebelum ditemui satu jam kemudian.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, mangsa bersama keluarga datang ke pantai berkenaan sejak malam semalam dan berkhemah di pantai berkenaan.
“Mangsa dimaklumkan telah hilang dilaut ketika sedang mandi kira-kira pukul 10.15 pagi dan mangsa ditemui kira-kira 11.10 pagi di lokasi berhampiran tempat dimana hilang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk siasatan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.-KOSMO! ONLINE