SABAK BERNAM – Bertugas ketika sambutan Aidilfitri antara pengorbanan dipikul anggota Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pos Haji Dorani, Sungai Besar di sini, demi memastikan kedaulatan tanah air terus terpelihara.
Lans Koperal Mohamad Khairul Anuar, 30, berkata, ia tidak mematahkan semangat dan tanggungjawabnya untuk menjaga negara biarpun sudah empat tahun tidak pulang beraya.
“Rasa rindu kepada keluarga dan juadah hari raya memang dirasai apatah lagi jika dapat berkumpul menyambut lebaran.
“Namun, keutamaan saya kini mahu menumpahkan taat dan setia untuk menjaga keselamatan ibu pertiwi ini,” kata anak kelahiran Cheras itu.
Tambah beliau, dia dan isterinya, Nurul Fatizaidayu Harun, 33, serta dua anak mereka berusia tiga dan enam tahun tetap memilih tema baju raya sedondon.
“Walaupun empat tahun tidak pulang beraya, saya dan isteri akan memastikan kami sekeluarga mengikut tema baju setiap tahun.
“Bagi mengubat kerinduan, saya akan kumpul dan menyunting gambar hari raya kami untuk dijadikan kenangan,” ujarnya.
Bagi Lans Koperal Mohd. Rahmat Musa, 33, berkata, rendang dan ayam kicap antara masakan ibunya yang paling diingati setiap kali lebaran.
Menurut anak kelahiran Sarawak itu, beraya dengan keluarga tercinta semestinya detik istimewa dalam hidup namun tugas mempertahankan negara perlu diharungi dengan istiqomah.
“Kenangan suka dan duka keluarga menjadi perangsang kuat untuk saya bertugas sepanjang Syawal ini.
“Saya mungkin hanya pulang ke kampung halaman pada November depan untuk bertemu isteri (Nur Srieyawati Ahit, 27) dan anak (Muhammad Muizzuddin, 2,),” katanya.
Sementara itu, Koperal Badrul Zaidi Mat Bani, 36, berkata walaupun jarak memisahkan, kemudahan teknologi masa kini menjadi platform utama untuk berkomunikasi dan melepaskan rindu kepada keluarganya.
“Saya sememangnya selalu menghubungi isteri (Nor Zakiah Abd Ghani, 37) dan tiga anak mereka menerusi panggilan video.
“Pada pagi raya, kami dapat bersama walaupun hanya dalam telefon bimbit dan saya bersyukur mereka memahami tugas saya di perantauan,” katanya. – KOSMO!ONLINE